Sunday 31 July 2011

TARIAN MAGUNATIP






Tarian ini adalah sejenis tarian tradisi masyarakat suku kaum Murut. Magunatip berasal dari perkataan "atip" yang bermaksud jepit atau terapit. Tarian Magunatip ditarikan berdasarkan upacara tertentu seperti Upacara Titikas yang merupakan upacara gembira seperti majlis perkahwinan. Alat yang digunakan dalam tarian ini ialah 3 batang kayu jenis keras berukuran 8-10 kaki yang berbentuk bulat menyerupai penumbuk atau alu padi. Dua daripada tiga batang kayu itu diletakkan di tengah-tengah manakala sebatang lagi kayu digunakan sebagai landasan untuk menghentak dua batang kayu tadi. Alat muzik yang digunakan ialah "sansaring" iaitu sejenis gong kecil dan "jaring" iaitu sejenis gendang.

Saturday 23 July 2011

TARIAN ZAPIN

Zapin merupakan tarian Melayu yang berasaskan kesenian Arab–Parsi yang telah disesuaikan dengan kesenian Melayu. Zapin bermaksud “gerak kaki” daripada perkataan ‘al–Zafn’. Tarian Zapin bercorak persembahan atau pertunjukkan. Gerak tarinya berasaskan langkah kaki penarinya. Banyak tarian Melayu ciptaan baru mengambil rentak zapin sebagai irama tarian. 


ALAT MUZIK YANG DIGUNAKAN 
Alat muzik utama yang digunakan bagi mengiringi tarian zapin ialah gambus, rebana, gendang dan marakas. Petikan gambus untuk membawakan lagu, sementara rentak gendang atau rebana menentukan rentak dan pecahan tari. Antara lagu zapin ialah Lancang Kuning, Zapin Asli, Gendang Rebana dan lain–lain. 


CARA PERSEMBAHAN TARIAN ZAPIN
Sebagai sebuah tarian persembahan, tarian Zapin terbahagi kepada 3 peringkat :

1. Peringkat pertama - permukaan tarian atau pembuka tari.

2. Peringkat kedua - pecahan atau gerak serta lenggang tari.

3. Peringkat ketiga - penutup tarian.


Zapin menumpukan pada langkahan kaki dengan posisi kaki selalu tertutup dan tidak merendah. Kebanyakan posisi badan selalu bergerak seperti ombak mengalun. Posisi tangan tidak diperlihatkan secara jelas misalnya motif memetik bunga, tangan kanan mahupun kiri berada di bawah bahu. Kebiasaannya, senikata yang dinyanyikan dalam lagu untuk tarian ini diselitkan dengan kalimat berunsur keagamaan seperti “salam” dan “assalamualaikum”, kata– kata nasihat dan pujian kepada kebesaran agama dan kesempurnaan budi pekerti. 



PAKAIAN DI DALAM TARIAN ZAPIN
Sungguhpun Zapin mempunyai pengaruh Arab–Parsi, tetapi dari segi pakaian, penari–penari memakai pakaian Melayu selengkapnya iaitu bagi lelaki berkain samping dan bersongkok dan wanita memakai kurung beserta kain sarong. 



Tuesday 19 July 2011

TARIAN NGAJAT

Tarian ngajat merupakan tarian yang menjadikan kebanggaan kaum iban dan masyarakat sarawak.Biasanya,tarian ngajat akan ditarikan dalam sambutan hari gawai sebagai tanda kesyukuran terhadap hasil penuaian padi sepanjang tahun.Pada zaman dahulu,tarian ini akan ditarikan selepas orang iban kembali dari berperang.Keindahan tarian ngajat yang terdapat dalam adalah unik dan asli kerana mempunyai identiti iban yang ppenuh dengan dunia mistik dan keajaiban serta dapat membezakan kaumnya dari suku-suku kaum pribumi lain di sarawak


JENIS-JENIS TARIAN NGAJAT

Tarian ngajat dibahagikan kepada pelbagai jenis tarian iaitu  Ngajat Lesong, Ngajat Bunuh, Ngajat Induk, Ngajat Ngalu Temuai ( menyambut tetamu ), Ngajat Pua Kumbu dan Ngajat Kuta ( persembahan ngajat Tradisional ).
Tarian biasanya di persembahkan semasa meraikan kejayaan atau menyambut kepulangan pahlawan-pahlawan Iban yang baru balik dari medan perang dan juga meraikan kejayaan hasil dari cucuk tanam mereka yang merujuk kepada tanaman padi.
Ngajat berbunuh 
Di persembahkan oleh kaum lelaki dari masyarakat berkenaan, tarian ini merupakan satu peniruan atau pengulangan yang di lakukan oleh mereka sebagaimana yang yang mereka lakukan semasa menghadapi musuh-musuh  ketika mereka mengadakan aktiviti harian seperti memburu.
Ngajat Induk
Merupakan persembahan yang di persembahkan oleh golongan wanita yang memaparkan kelembutan dan kehalusan seni budaya serta adat istiadat masyarakat pribumi itu sendiri. Gerak  tari yang di persembahkan mempunyai maksud yang tersirat serta menggambarkan aktiviti seharian masyarakat Iban.

Tarian Ngajat Lesong
 merupakan tarian yang di persembahkan oleh golongan lelaki sahaja. Persembahan ngajat jenis ini hanya di benarkan untuk di tarikan oleh kaum lelaki kerana ianya memerlukan penari lelakinya untuk menari sambil menggigit lesong. Kekuatan dan kegagahan yang di tunjukkan dalam persembahan tarian ngajat jenis ini hanya sesuai di persembahkan oleh golongan lelaki sahaja. 
Ngajat Ngalu Temuai ( menyambut tetamu ) 
Dipersembahkan bagi tujuan menyambut kedatangan tetamu khas yang datang. Biasanya tarian ini di persembahan ketika upacara perasmian atau pembukaan sesuatu majlis rasmi yang di hadiri oleh banyak tetamu-tetamu terhormat dan orang ramai.
Ngajat Kuta 
Merupakan jenis tarian persembahan ngajat yang menggabungkan penari lelaki dan perempuan. Biasanya diadakan bagi upacara sambutan seperti perasmian sesebuah persembahan kebudayaan dan sebagainya.

Ngajat Pua Kumbu 
Merupakan salah satu daripada jenis persembahan yang terdapat dalam tarian
ngajat. Persembahan ngajat jenis ini lazimnya di persembahkan oleh golongan wanita. Memandangkan nama tarian ini ialah Pua Kumbu sudah pasti penari akan menari sambil membawa kain pua kumbu sebagai alat dalam persembahan mereka.

PAKAIAN LELAKI
Penari ngajat akan memakai pakaian tradisi seperti 'sirat', 'gagung' atau baju burung. Penari juga memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung. Gagung merupakan sejenis baju yang tebal dan keras yang diperbuat daripada kulit haiwan seperti kulit beruang tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya. Penari-penari akan memakai kain merah yang yang diikat pada bahagian pinggang hingga ke paras lutut. Penari juga memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung. Di tubuhnya dipakaikan sejenis baju yang dibuat dari bulu-bulu burung tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya.





PAKAIAN PEREMPUAN
Penari ngajat perempuan pula akan memakai pakaian tradisi seperti pakaian yang berduit syiling,cucuk sanggul dan bergelang kaki.Selain itu,kaum wanita dikenakan pakaian "selabai" dan berkain songket. Dalam erti kata lain,pakaian tradisi ini dikenali sebagai ngepan iban.


Sunday 17 July 2011

TARIAN SUMAZAU


Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang sering dipersembahkan pada Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Penuaian yang dirayakan di negeri Sabah pada setiap bulan Mei.

Tarian Sumazau ini seolah-olah menunjukkan bahawa petani sedang menghalau burung daripada memakan hasil tanaman padi mereka. Setiap penari yang menjayakan tarian ini hendaklah bergerak beberapa sentimeter saja daripada penari lain tanpa bersentuhan.

Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit.

Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong, biasanya 8 biji gong yang berbagai ukuran dan satu gendang dengan rentak yang khusus. Tempoh dan rentak pukulan gong Sumazau adalah berbeza-beza mengikut daerah dan desa.

Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan dengan perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan, namun tujuan asal tarian ini ialah untuk menyambut kedatangan "Bambaazon" (semangat padi) yang biasa dilakukan pada selepas menuai padi.

Penari-penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya memakai pakaian serba hitam yang dihiasi dengan corak-corak menarik menggunakan benang berwarna emas. Penari perempuan dihiasi dengan selendang serta talipinggang (tangkong) yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade dollars). Penari lelaki biasanya akan memaki tanjak di samping pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering.